IPOH: Kisah derita dua beranak hidup dalam sampah dan najis yang menyentuh hati jutaan rakyat Malaysia baru-baru ini dilihat sudah menemui titik noktah.

Difahamkan Miram Kadir, 77, sudah diambil dan dijaga oleh salah seorang anak perempuannya yang menetap di Ipoh, selain rumah di Flat Taman Silibin dibersihkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Apa pun, menurut Pengerusi Pertubuhan Puteri Kebajikan Negeri Perak, Wan Noorashikin Noran, nasib anak lelaki warga emas itu, Erwan Dahari, 46, masih menjadi tanda tanya sehingga sekarang.

Katanya, keadaan lelaki itu yang tidak sihat mentalnya dan sering dilanda tekanan perasaan perlu ditempatkan di tempat yang sepatutnya dan bukan dibiarkan tanpa pemantauan.

"Opah (Miram) sudah dijaga oleh anak perempuannya, sebelum ini kekangan disebabkan faktor tidak mampu.

"Alhamdulillah bila ada bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapatlah anaknya beli lampin pakai buang dan makanan dan persekitaran lebih sihat," katanya.

Bagaimana dengan nasib Erwan Dahari?

Wan Noorashikin berkata, rumah yang dihuni lelaki itu sudah tidak relevan untuk diduduki dan dibimbangi situasi sama berulang, susulan dia kini tinggal seorang diri dengan ditemani kucing-kucingnya.

Tegasnya lagi, pihak yang berkenaan perlu mencari alternatif untuk membawa lelaki itu ke pusat jagaan yang sewajarnya di samping menerima rawatan bagi penyakit yang dihidap.

Jelasnya, dia dan wakil pertubuhan ada mencari rumah sewa baharu untuk Erwan, namun katanya pihaknya tidak mampu untuk menampung bayaran bulanan, selain hakikat ramai yang enggan sewakan rumah kepada lelaki itu.

"Banyak kekangan sebenarnya, salah satunya ramai yang enggan sewakan rumah bila tahu keadaan Erwan begitu sebab sudah tular.

"Selain itu, kami hanya boleh bantu carikan rumah atau bilik sewa, tetapi untuk bayaran bulanan tiada siapa yang tampil untuk bantu.

"Sebolehnya kami harap pihak yang berkenaan atau kerajaan negeri boleh bantu untuk bayar sewa jika ada rumah atau bilik untuk tempatkan dia.

"Memandangkan kita tahu Erwan tidak berapa sihat pemikirannya, dia memang tegas hendak duduk di situ sebab sangat sayangkan kucing-kucing yang sudah jadi peneman setia sejak dulu.

"Kalau ditempatkan di rumah lain sudah pasti kucing itu tidak boleh dibawa dan Erwan sangat sedih bila mengenangkan perkara itu.

"Tetapi saya ada pujuk cakap dia boleh datang hari-hari dan beri makan kucing di situ," katanya kepada Astro AWANI.

Keadaan rumah Miriam Kadir dan anaknya, Erwan Dahari yang sudah dibersihkan.

Dalam pada itu, Wan Noorashikin berulang kali menegaskan walaupun sampah sarap sudah dibuang, tetapi takungan najis di dalam bilik air dan saluran yang tersumbat membuatkan rumah itu ibarat seperti tempat kumbahan.

"Sepanjang saya laksana aktiviti kerja kebajikan, ini kes paling teruk jika dilihat situasi dalam rumah itu.

"Dia (Erwan) masih di situ, keadaan terbaharu rumah sudah tiada sampah tetapi baunya sangat busuk dan saya pun tak pasti bagaimana dia boleh tinggal di situ, jelas nampak najis bertakung di tandas dan bekalan air pun tiada.

"Harapan saya supaya dia dapat kehidupan lebih baik, tetapi saya perlukan bantuan orang yang ada kuasa untuk buat keputusan.

"Saya tiada kuasa untuk tempatkan dia ke tempat terbaik (pusat jagaan, rawatan mental), pihak yang berkuasa patut buat dan pujuk dia," katanya lagi.

Dalam perkembangan berasingan, wanita yang giat aktif membantu masyarakat sejak dahulu itu berkata, dia dihubungi Persatuan Amal Chin Seng Kok dari Cameron Highlands pada Jumaat.

"Wakil persatuan itu terkejut melihat keadaan dalam rumah walaupun sudah dibersihkan. Ramai yang akui ia sudah tidak boleh dihuni.

"Mereka ada berikan saya wang deposit untuk carikan Erwan rumah sewa, tetapi untuk bulanan saya pun tidak pasti bagaimana sebab masih menjadi tanda tanya," katanya.

Sebarang maklumat lanjut berhubung nasib dua beranak ini boleh hubungi Wan Noorashikin di talian 012-509 2557.

Wan Noorashikin Noran