MALAYSIA
Dua dalang geng samun bersenjata api, pecah rumah ditembak mati

Anggota forensik sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian di Jalan Semerah Padi Cheras, awal pagi ini. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga asing dipercayai dalang utama geng samun bersenjata api dan pecah rumah ditembak mati dalam Ops Aman 6 di Jalan Semerah Padi Cheras di sini hari ini.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, dua suspek berkenaan disyaki terbabit dengan 50 kes pecah rumah dan samun bersenjata melibatkan kerugian lebih RM3 juta.
"Kedua-dua suspek terbabit yang menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic dikesan di kawasan Taman Pertama, Cheras oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Pahang yang melakukan tugasan cegah jenayah melalui Op Aman 6 ketika melalui sekitar jam 3.45 pagi tadi.
"Kereta dinaiki suspek terbabit dikesan adalah kenderaan yang dilaporkan hilang bersabit Subang Jaya Report pada 2023," katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian di sini pada Jumaat.Turut hadir Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan.
Fadil berkata, suspek bertindak agresif ketika pihak polis cuba memintas kereta mereka bagi tujuan pemeriksaan.
"Mereka (suspek) cuba melakukan halangan dengan melanggar kenderaan pasukan polis selain turut melepaskan tembakan ke arah polis sehingga memaksa tembakan balas dilepaskan bagi tujuan mempertahankan diri.
"Suspek kemudiannya disahkan mati di dalam kenderaan dinaiki mereka ditempat kejadian akibat terkena tembakan," katanya.

Anggota forensik sedang menyiasat di lokasi kejadian hari ini. - Foto Sinar Harian
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta membawa kepada penemuan dua pucuk senjata api berupa revolver dan semi auto, dadah dan peralatan yang digunakan suspek bagi tujuan melakukan jenayah samun dan pecah rumah.
"Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka adalah dalang kepada sebuah kumpulan samun bersenjata api dan pecah rumah yang dianggotai 15 warga asing.
"Selain menjadikan sasaran terhadap unit kediaman mewah seperti banglo, rumah tepi (corner lot) dan end lot di sekitar Lembah Klang, suspek turut aktif menyamun di Negeri Sembilan, Perak dan Pahang," katanya.
Fadil berkata, pihaknya juga percaya, kedua-dua suspek ini dalam perancangan untuk melakukan jenayah samun berdasarkan penemuan peralatan samun seperti pemotong besi, sarung tangan, sarung muka serta senjata api dan dadah.
"Pada masa ini semua elemen JSJ di Kontinjen KL, Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan sudah digerakkan bagi memburu dan mengesan baki 13 lagi suspek," katanya.
Katanya, meskipun lebih 50 kes samun dan pecah rumah yang dikaitkan dengan kumpulan ini, namun pihaknya percaya jumlah mangsa mungkin lebih daripada itu akibat mereka tidak membuat laporan polis.
"Sehubungan itu, pihak polis menyeru kepada mereka yang menjadi mangsa samun kepada kumpulan ini supaya tampil membuat laporan di Balai Polis berhampiran selain mengalu-alukan sebarang maklumat tentang situasi mencurigakan.
"JSJ tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah kekerasan yang boleh menggusarkan masyarakat di negara ini dan akan memerangi mereka secara habis-habisan," katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami