PUTRAJAYA: Kali pertama anjurannya adalah pada 2003, dan dua dekad kemudian iaitu pada 2023, Putrajaya sekali lagi menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan untuk segenap lapisan masyarakat dan pemimpin berkumpul untuk meraikannya.

Dalam tempoh 20 tahun itu, Putrajaya telah berjaya menganjurkan empat sambutan Hari Kebangsaan iaitu pada 2003, 2005, 2018 dan 2019, dan tahun ini ialah edisi kelimanya.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 pada bulan lepas dilaporkan berkata, sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos ini akan gah seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini diadakan di Putrajaya. Insya-Allah sambutan tahun ini tidak kurang gahnya berbanding tahun-tahun lepas dan sudah pasti menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh rakyat," kata Fahmi.

Signifikannya tahun ini bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 itu, Putrajaya yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan kini ditadbir Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tahun ini, "Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan" diangkat sebagai tema HKHM 2023 yang menjadi aspirasi tekad serta komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu padu serta kehidupan yang aman dan sejahtera.

Konsep Malaysia MADANI yang digagaskan Perdana Menteri bakal diterjemah dalam segenap aspek sambutan termasuk persembahan tarian dan nyanyian, aksi akrobatik oleh pasukan keselamatan sehinggalah perarakan kontinjen.

Malaysia MADANI yang diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan diperkenalkan sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Ketika Putrajaya, yang dahulunya dikenali sebagai Prang Besar sebelum menjadi pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan pada 1995, pertama kali menjadi tuan rumah pada 2003, "Keranamu Malaysia" diangkat sebagai tema sambutan dan begitu juga pada 2005 apabila tema yang sama masih digunakan ketika menganjurkannya buat kali kedua.

Pada 2003, pertama kali perarakan Hari Kebangsaan berlangsung di Putrajaya bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-46 yang melibatkan kira-kira 23,000 peserta, 63 kontinjen, 22 pancaragam, 18 kereta berhias, 20 pesawat dan 312 kenderaan.

Tiga belas tahun selepas edisi kedua dianjurkan pada 2005, Putrajaya kembali menjadi tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan 2018 bertemakan "Sayangi Malaysiaku", dan ia merupakan sambutan Hari Kebangsaan pertama buat kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Putrajaya sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah bagi Hari Kebangsaan setahun selepas itu iaitu pada 2019 dengan tema "Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih" diangkat sebagai aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, cekap dan amanah.

Bersesuaian dengan tema sambutan pada 2019 itu, persembahan khas Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih menampilkan analogi sifat anai-anai sebagai simbolik kejelikan jenayah rasuah serta rakyat Malaysia yang tidak rela membiarkan negara hancur akibat jenayah itu. - BERNAMA