Skip to main content

Dunia

Pakistan gesa AS, Iran terus patuhi gencatan senjata selepas rundingan berakhir tanpa persetujuan

A man walks past a billboard near the media centre as delegations from the United States and Iran are expected to hold high-stakes talks in Islamabad, Pakistan, April 11, 2026. REUTERS/Asim Hafeez
Rundingan yang berlangsung dalam beberapa pusingan itu disifatkan sebagai “intensif dan konstruktif”, dengan Dar dan Panglima Tentera Pakistan Fil Marsyal Syed Asim Munir bertindak sebagai pengantara sepanjang tempoh 24 jam hingga pagi Ahad. -Gambar fail/Reuters

HYDERABAD: Pakistan menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus mematuhi gencatan senjata sementara yang dipersetujui Selasa lepas selepas rundingan damai di Islamabad berakhir tanpa sebarang persetujuan antara kedua-dua pihak.

“Adalah penting bagi kedua-dua pihak untuk terus berpegang pada komitmen mereka terhadap gencatan senjata.

Advertisement

“Pakistan telah dan akan terus memainkan peranannya dalam memudah cara penglibatan dan dialog antara Iran dan Amerika Syarikat pada hari-hari mendatang,” kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar dalam satu kenyataan pada Ahad.

 

 

Yang Dipertua Parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf mengetuai delegasi negaranya dalam rundingan damai di Islamabad, manakala pasukan perunding AS diketuai Naib Presiden J.D. Vance.

Rundingan yang berlangsung dalam beberapa pusingan itu disifatkan sebagai “intensif dan konstruktif”, dengan Dar dan Panglima Tentera Pakistan Fil Marsyal Syed Asim Munir bertindak sebagai pengantara sepanjang tempoh 24 jam hingga pagi Ahad.

“Kami berharap kedua-dua pihak meneruskan semangat positif ini demi mencapai keamanan berkekalan dan kemakmuran bagi seluruh rantau ini dan sekitarnya,” kata Dar.

Pasukan AS, yang turut dianggotai menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner serta utusan khas Steve Witkoff, meninggalkan Pakistan selepas gagal mencapai persetujuan.

“Berita buruknya ialah kami masih belum mencapai persetujuan, dan saya fikir itu berita yang lebih buruk untuk Iran berbanding Amerika Syarikat,” kata Vance.

“Jadi kami pulang ke Amerika Syarikat tanpa mencapai persetujuan. Kami telah menjelaskan apakah garis merah kami,” katanya.

Iran menyalahkan kegagalan mencapai persetujuan itu kepada “tuntutan berlebihan” yang dikemukakan AS.

“Kejayaan proses diplomatik ini bergantung pada kesungguhan dan niat baik pihak lawan, tidak mengemukakan tuntutan berlebihan dan permintaan yang menyalahi undang-undang, serta menerima hak dan kepentingan sah Iran,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei menerusi X.

Beliau berkata perbincangan dengan AS meliputi “pelbagai dimensi topik utama rundingan, termasuk Selat Hormuz, isu nuklear, pampasan perang, penarikan balik sekatan, serta penghentian sepenuhnya perang terhadap Iran dan di rantau ini.”

Perang AS-Israel terhadap Iran sejak 28 Februari telah mengorbankan ribuan nyawa di Iran serta di Lubnan, yang terus menjadi sasaran serangan Israel meskipun gencatan senjata sementara Iran-AS dipersetujui pada 7 April menerusi pengantaraan Pakistan.

Perang itu turut mencetuskan gangguan dalam pasaran tenaga global apabila Selat Hormuz, yang menjadi laluan bagi satu perlima bekalan minyak mentah dunia, terus terjejas susulan aktiviti ketenteraan di rantau berkenaan.

Iran, yang bertekad mengekalkan kawalan ke atas laluan laut strategik di sempadan selatannya itu, terus menyimpan rasa curiga terhadap AS.

Tindakan AS menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran 2015 yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), serangan AS-Israel pada Jun 2025, serta perang tahun ini ketika rundingan diplomatik sedang berlangsung, menambah kepahitan di pihak Iran.

“Kami tidak lupa dan tidak akan melupakan pengalaman dikhianati melalui janji yang dimungkiri Amerika serta tindakan berniat jahatnya. Sama seperti kami tidak akan memaafkan jenayah keji yang dilakukan mereka dan rejim Zionis (Israel) sepanjang perang kedua dan ketiga yang dikenakan” kata Baqaei.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video