KUANTAN: Dua individu hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif program Penjana Kerjaya 1.0 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), berjumlah RM43,600, pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh Arabath Ali Arul Alavudeen, 36, dan Mohmmed Ismail R P Mohd Ibrahim, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua tuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua tertuduh pada 5 Oktober 2020 didakwa telah mengemukakan secara atas talian, butiran palsu melibatkan senarai nama 17 orang pekerja IS Catering Sdn Bhd sedangkan mereka tidak pernah memohon bekerja di syarikat tersebut bagi menuntut insentif berkenaan yang berjumlah RM27,200.

Manakala pertuduhan kedua, pada 6 Oktober 2020, mereka didakwa atas kesalahan sama iaitu dengan mengemukakan butiran nama 10 pekerja tidak wujud di syarikat sama yang melibatkan jumlah tuntutan sebanyak RM16,400.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir matan palsu itu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan jaminan RM18,000 setiap seorang dengan syarat tambahan paspot antarabangsa diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 27 Februari depan.