Dua lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Batu Pahat di sini hari ini atas pertuduhan melibatkan diri dalam persediaan bagi melakukan serangan ke atas tokong dan kelab malam di Johor Baharu antara 27 Jun dan 2 Julai lepas.

Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 33, dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Waja, Parit Raja, Batu Pahat, untuk melakukan serangan ke atas tokong dan kelab-kelab malam seperti Kelab Platinum di Johor Baharu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130JD Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Sementara itu, Mohd Sanusi Satar, 31, didakwa atas pertuduhan dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkenaan dengan kesalahan di bawah Seksyen 130JD Kanun Keseksaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No 5, Jalan Manis 1/3, Taman Manis, Parit Raja, Batu Pahat antara 1 Julai dan 8 Ogos tahun ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Md Saifuddin juga dihadapkan atas pertuduhan memiliki sebuah bendera hitam dengan tulisan jawi yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS atau Daish pada 11 Ogos tahun ini.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tujuh tahun dan denda serta dilucutkan hak atas bahan itu.

Bagi ketiga-ketiga pertuduhan, tiada pengakuan direkodkan. Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim menetapkan tarikh sebutan semula pada 28 Sept ini.

Pagi tadi, Md Saifuddin mengaku bersalah atas tuduhan memiliki senjata api iaitu bom tangan model M67 di no 108, Kampung Parit Gantung, Sri Merlung, Rengit, dekat sini pada 11 Ogos.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 14 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya enam kali.

Bagi pertuduhan ini, Mohd Zulhilmi menetapkan kes disebut semula pada 8 Sept ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.