KUALA LUMPUR : Dua individu direman selama tiga hari selepas dipercayai terlibat dengan kes pembuangan janin di sebuah stesen minyak di Danau Kota pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kedua-dua suspek masing-masing merupakan seorang lelaki dan seorang perempuan berusia 27 tahun.

“Tangkapan dibuat pada 11 Mei sekitar jam 12.15 malam oleh sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Wangsa Maju.

“Kedua-dua individu disyaki terlibat dalam kes yang disiasat di perkarangan Hospital Tuanku Azizah Kuala Lumpur dan telah dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jenayah | Janin ditemukan dalam tandas di stesen minyak


Ujarnya lagi, tahanan reman dibuat bagi menyiasat kes mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Polis dalam masa sama memohon orang ramai yang mepunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Selasa lalu, polis menemui janin bayi yang cukup sifat hasil aduan orang awam di dalam tandas di sebuah stesen minyak di Danau Kota, Setapak.

Siasatan awal mendapati janin lelaki yang dianggarkan berusia enam hingga lapan bulan itu telah dibuang ke dalam mangkuk tandas di stesen minyak tersebut.

BACA: Janin ditemukan dalam tandas di stesen minyak