PADANG BESAR: Dua sahabat ditahan selepas polis merampas lima kilogram ketulan mampat ganja bernilai RM15,500 di hadapan pintu masuk sebuah pusat membeli belah bebas cukai berhampiran Kompleks Pemeriksaan Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar sebaik menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan ganja yang dipercayai sedang dilakukan di kawasan itu pada jam 1.30 tengah hari.

“Bertindak atas daripada maklumat berkenaan, berjaya mengesan suspek yang duduk atas motosikalnya berwarna hijau sambil menggalas sebuah beg berwarna biru di pintu masuk bangunan pusat membeli belah bebas cukai itu.

“Anggota polis kemudian menahan lelaki itu dan membuat pemeriksaan dalam beg yang sandang dan menemui lima bungkusan ketulan mampat yang dibalut dengan ‘aluminium foil’ berwarna merah dipercayai dadah jenis ganja dimana setiap satunya dianggarkan seberat satu kilogram,” katanya pada sidang media di IPD Padang Besar hari ini.

Mohd Shokri berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 23 tahun itu seorang lagi rakannya dipercayai dalang yang mengatur urusan membawa masuk bekalan ganja dari negara jiran itu.

“Susulan itu, tidak sampai tempoh 24 jam, kita berjaya memberkas seorang lagi lelaki di lokasi yang sama dimana kita percaya lelaki berusia 36 tahun itu adalah suspek utama dalam kes berkenaan.

“Siasatan kita mendapati sindiket ini sudah aktif hampir setahun lalu dan memperoleh ganja dari negara jiran dengan diseludup masuk menggunakan ‘laluan tikus’ di sekitar pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan bekalan ganja itu dipercayai akan diserahkan kepada suspek utama itu untuk dipasarkan ke negeri berjiran dengan Perlis.

“Lelaki yang ditahan pada awal itu disyaki bertindak selaku ‘runner’ yang akan membawa bekalan ganja itu kepada suspek utama dimana dia dibayar sebanyak RM2,000 bagi setiap tugasan oleh sindiket penyeludupan dadah negara ini,” katanya.

Beliau berkata, ganja yang dirampas mampu digunakan oleh 5,000 penagih dadah di negara ini dan setiap satu ketulan mampat ganja itu dianggarkan bernilai RM3,100.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu dan semakan rekod mendapati suspek yang ditahan pada awal tangkapan itu mempunyai empat rekod jenayah membabitkan kes dadah menakala suspek utama pula mempunyai 14 rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah lain.

“Suspek utama itu juga turut dikehendaki polis di Langkawi atas tiga kesalahan dadah selain masih berada dalam parol,” katanya.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 16 Februari hadapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.