PUTRAJAYA: Pemberian dua dos vaksin COVID-19 berjaya mengurangkan kadar kemasukan ke hospital, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, situasi positif itu sekali gus dapat mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam, kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU), serta kemungkinan kadar kematian akibat wabak tersebut.

Jelasnya lagi, dapatan itu diperoleh berdasarkan data 2,779 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sudah lengkap dua dos vaksin, dan mempunyai sistem pertahanan badan terhadap virus itu.

Beliau berkata, kebanyakan petugas kementerian yang dijangkiti, tidak menunjukkan sebarang gejala (tahap satu), atau mempunyai gejala ringan (fasa dua) yang tidak memerlukan mereka dihantar untuk menerima rawatan di hospital.

“Kita dah maklumkan bahawa mereka yang dah dapat vaksin boleh dijangkiti. Apabila kita lihat petugas kesihatan - kerana kita jalankan saringan berkala pada semua petugas kesihatan"

“Daripada sejumlah 2,779 warga KKM, kategori tahap satu dan dua adalah majoriti. Tahap tiga hanya tiga orang, tahap empat juga tiga orang. Kebanyakan jangkitan selepas vaksin menunjukkan gejala ringan dan tiada gejala,” katanya dalam sidang media khas KKM di Putrajaya, hari ini.

Selain Dr Noor Hisham, turut menyertai sidang media tersebut ialah Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Sha’ari Ngadiman.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian sekali lagi menggesa masyarakat Malaysia untuk terus mendaftar bagi mendapatkan vaksin, dalam usaha mencapai imunisasi kelompok yang disasarkan sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, biarpun kadar kes baharu yang dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas melebih 11,000, ia tidak akan memberi impak yang besar kepada usaha kerajaan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok.

Dr Noor Hisham berkata, sekiranya kadar vaksinasi boleh mencapai 450,000 dos sehari, dan berterusan dalam sebulan ke dua bulan akan datang, sasaran imuniti kelompok itu diyakini boleh tercapai.

Beliau berkata, kadar vaksinasi yang disasarkan itu juga diyakini dapat membawa negara ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) lebih awal.