Dua kejadian letusan gunung berapi di Indonesia memaksa laluan penerbangan di negara itu terpaksa diubah dan menghalang ribuan penduduk yang dipindahkan dari kembali semula ke kediaman mereka.

Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, Gunung Sinabung yang terletak di barat Pulau Sumatra telah mula meletus sekitar pertengahan September dengan mengeluarkan asap setinggi 8,000 meter (26,000 kaki) ke udara.

“Kementerian Transportasi telah mengubah beberapa laluan penerbangan berikutan letusan Gunung Sinabung itu,” kata jurucakap kementerian, Bambang Ervan dalam satu kenyataannya.

Kejadian tersebut turut membuatkan 5,000 penduduk yang dipindahkan dari kawasan sekitar Sinabung kerana letusan gunung berapi itu tidak dapat pulang semula ke rumah mereka.

Sementara itu, di kepulauan Jawa pula, gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi telah pun mula mengeluarkan debu dan asap setinggi 2,000 meter (6,500 kaki) pada pagi, kata Ketua Agensi Mitigasi bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.

Menurut beliau, letusan tersebut terjadi disebabkan terdapatnya gegaran gempa bumi kecil yang memaksa 600 keluarga dipindahkan ke tempat pemindahan dengan segera.

Namun, mereka kemudian kembali segera ke rumah mereka apabila tiada tanda-tanda ancaman besar dari letusan tersebut.

Kejadian letusan Gunung Berapi Merapi pada lewat 2010 telah menyebabkan pada 350 orang terbunuh sementara banyak perkampungan musnah.

Indonesia mempunyai banyak gunung berapi aktif dan terletak di laluan tektonik antara Lautan Hindi dan Pasifik yang dikenali sebagai ‘Lingkaran Api Pasifik’.

Pada Ogos lalu, lima orang terbunuh dan berates yang lain dipindahkan kerana gunung berapi di sebuah pulau kecil di Wilayah Timur Nusa Tenggara meletus.