NEW YORK: Perancis berpeluang mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan I apabila berdepan Norway pada aksi terakhir kumpulan Piala Dunia, Jumaat ini, namun kedudukan tersebut berpotensi membuka laluan lebih mencabar ke arah kejuaraan.
Les Bleus sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik selepas mencatat kemenangan ke atas Senegal dan Iraq, dengan keputusan seri sudah memadai untuk mereka menamatkan saingan di tangga teratas hasil kelebihan jaringan.
Meskipun berada dalam kedudukan selesa, keputusan untuk menguasai kumpulan tidak semestinya menjamin laluan mudah, apabila Perancis berdepan kemungkinan bertemu pasukan elit Eropah pada peringkat awal kalah mati.
Perancis dijangka melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama, dengan pengendali Didier Deschamps tidak bersama pasukan susulan kematian ibunya.
Tugas di sisi padang akan dikendalikan penolong jurulatih, Guy Stephan.
Menamatkan saingan sebagai juara kumpulan boleh mengelakkan pertemuan awal dengan gergasi seperti Brazil, England dan Portugal, namun ia mungkin membuka laluan lebih sukar termasuk kemungkinan berdepan Jerman di pusingan 16 terbaik serta Sepanyol di separuh akhir.
Dalam pada itu, Norway muncul antara pasukan paling mencuri tumpuan dalam kejohanan kali ini apabila mereka turut mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati hasil kemenangan ke atas Iraq dan Senegal.
Skuad kendalian Stale Solbakken hadir dengan keyakinan tinggi selepas kemenangan dramatik ke atas Senegal, namun keletihan fizikal dijangka mendorong perubahan dalam kesebelasan utama.
Penyerang utama, Erling Haaland, yang telah meledak empat gol setakat ini, terus menjadi sandaran Norway dalam usaha memburu kedudukan juara kumpulan, namun berkemungkinan direhatkan bersama beberapa pemain utama lain termasuk kapten Martin Odegaard.
Sebagai alternatif, Alexander Sorloth dijangka mengetuai barisan serangan, dengan beberapa pemain lain diberi peluang membuktikan kemampuan.
Perancis pula memiliki kelebihan tersendiri menerusi ketajaman Kylian Mbappe, yang terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila meledak dua gol dalam aksi menentang Iraq, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penyerang paling berbisa di pentas dunia.
Dengan kedua-dua pasukan sudah mengesahkan kemaraan dan masing-masing berada pada prestasi terbaik, pertembungan ini dijangka menjadi penentu kepada siapa yang benar-benar layak bergelar juara Kumpulan I. - Agensi