Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya dua warga Korea Utara yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong Nam masih berada di dalam premis kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu menerusi WhatsApp kepada Bernama News Channel (BNC) berkata dua individu itu ialah Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara, Hyon Kwang-song, 44, dan kakitangan syarikat penerbangan Air Koryo, Kim Uk-il, 37.

Ditanya mengapa pihak polis tidak memasuki kedutaan bagi menahan kedua-dua individu berkenaan, beliau berkata setiausaha berkenaan mempunyai imuniti terhadap dirinya manakala waran tangkap ke atas Uk-il telah dikeluarkan minggu lepas.

"PDRM harus menghormati Konvensyen Vienna di mana perkarangan kedutaan yang dilindungi kekebalan diplomatik tidak boleh diceroboh," katanya.

Mengenai empat suspek yang meninggalkan negara ini sebaik berlaku kejadian Jong-nam diracun, beliau berkata: "Setakat ini tiada perkembangan lanjut diterima daripada Interpol".

Jong-nam yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport atas nama Kim Chol meninggal dunia selepas mukanya disapu dengan bahan kimia Agen Saraf VX semasa menunggu penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lalu.

Dua wanita warga asing telah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu berhubung kes itu.

Seorang daripadanya dikenali sebagai Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan seorang lagi yang dikenali sebagai Doan Thi Huong, 29, wanita warga Vietnam.

Mereka bersama empat orang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas klia2.

Sementara itu Khalid enggan mengulas berhubung laporan media asing yang menyebut pihak berkuasa Jepun memberikan data cap jari kepada PDRM bagi mengesahkan identiti Kim Chol sebagai Kim Jong Nam.

"Saya cuma akan ulas jika berita ini dikeluarkan oleh pihak berkuasa rasmi Jepun," katanya.

Laporan tersebut menyebut pihak kerajaan Jepun menyediakan maklumat cap jari dan beberapa data lain kepada Malaysia bagi membantu siasatan kes pembunuhan abang tiri pemimpin negara itu, Kim Jong-un.

Agensi berita Kyodo yang memetik sumber kerajaan Jepun berkata maklumat cap jari berkenaan diperoleh pihak berkuasa imigresen Jepun apabila Jong-nam ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 2001 ketika dia cuba memasuki Jepun dengan menggunakan pasport palsu. -- Bernama