DOSM terbit Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024

Mohd Uzir (tengah) bersama tetamu kehormat ketika melihat manuskrip Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024. - Foto DOSM
PUTRAJAYA: Industri budaya dan kreatif Malaysia kini bukan sekadar wadah ekspresi seni, sebaliknya muncul sebagai antara pemacu ekonomi penting negara.
Ringkasan AI
- Industri budaya dan kreatif Malaysia kini bukan sekadar wadah ekspresi seni, sebaliknya muncul sebagai antara pemacu ekonomi penting negara.
- Perkembangan itu dizahirkan menerusi penerbitan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang buat julung kalinya menyediakan gambaran menyeluruh sumbangan sektor budaya dan kreatif kepada ekonomi negara berasaskan data dan statistik rasmi.
- Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata industri budaya dan kreatif mencatatkan pertumbuhan 7.1 peratus atau RM130.7 bilion pada 2024, meningkat berbanding 4.5 peratus pada tahun sebelumnya.
- Menurut Mohd Uzir, kadar sumbangan memberansangkan itu meletakkan Malaysia pada kedudukan yang kompetitif di peringkat antarabangsa, dengan beberapa negara maju seperti Australia, Finland dan Sepanyol mencatatkan sumbangan lebih rendah, manakala negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia berada dalam julat hampir sama.
“Pada tahun 2024, industri budaya dan kreatif terus berkembang kepada 7.1 peratus (RM130.7 bilion).
“Oleh itu, industri ini menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia, satu nilai yang dianggap tinggi berbanding kebanyakan negara maju,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024, di sini.
Menurut Mohd Uzir, kadar sumbangan itu meletakkan Malaysia pada kedudukan yang kompetitif di peringkat antarabangsa, dengan beberapa negara maju seperti Australia, Finland dan Sepanyol mencatatkan sumbangan lebih rendah, manakala negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia berada dalam julat hampir sama.
Selain sumbangan kepada ekonomi, industri ini turut membuka peluang pekerjaan yang semakin meluas. Statistik menunjukkan guna tenaga dalam industri budaya dan kreatif meningkat kepada 763,100 orang pada 2024 dengan sumbangan 4.7 peratus daripada keseluruhan guna tenaga negara.
Dari sudut perdagangan antarabangsa pula, eksport produk kreatif mencatat pemulihan ketara sebanyak 12.4 peratus atau RM63.0 bilion, berbanding penurunan 1.1 peratus pada tahun sebelumnya. Import produk kreatif terus merekodkan pertumbuhan dua angka iaitu 15.8 peratus atau RM43.9 bilion.

Mohd Uzir ketika merasmikan Majlis Pelancaran Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 pada Khamis di Dewan Anggerik, Jabatan Perangkaan Malaysia Putrajaya yang turut dihadiri Timbalan Ketua Perangkawan (Ekonomi) Siti Asiah Ahmad. - Foto DOSM
Mengulas struktur industri, Mohd Uzir menjelaskan bahawa sektor budaya dan kreatif merangkumi domain teras dan domain transversal.
Domain teras terdiri daripada aktiviti ekonomi dan sosial yang secara tradisi dikaitkan dengan budaya, manakala domain transversal pula berperanan menyokong serta merentas hampir semua domain teras bagi memastikan keseluruhan ekosistem budaya berfungsi secara berkesan dan menyeluruh.
Pada 2024, domain teras mencatat pertumbuhan 7.8 peratus dipacu Reka bentuk dan perkhidmatan kreatif yang berkembang 8.2 peratus, disokong oleh perkhidmatan kejuruteraan, arkitek dan pengiklanan. Segmen Buku dan media cetak serta Audiovisual masing-masing merekodkan pertumbuhan 6.1 peratus dan 8.8 peratus.
Dari segi sumbangan, reka bentuk dan perkhidmatan kreatif merangkumi 13.5 peratus, diikuti buku dan media cetak (9.5 peratus) serta seni visual dan kraf (6.6 peratus). Ketiga-tiga segmen ini membentuk 79.4 peratus daripada keseluruhan domain teras.
Sementara itu, domain transversal meningkat 6.6 peratus pada 2024, didorong oleh peralatan dan peranti pelbagai guna yang mencatat pertumbuhan 8.4 peratus, diikuti pendidikan budaya (8.1 peratus) dan festival (15.0 peratus).
Domain ini didominasi oleh peralatan dan peranti pelbagai guna (42.4 peratus), media interaktif (12.2 peratus) dan pendidikan budaya (7.1 peratus), yang secara keseluruhan mewakili 98.4 peratus domain transversal.
Menurut Mohd Uzir, penyusunan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif melibatkan 104 industri, sekali gus membolehkan kerajaan mengenal pasti kedudukan semasa sektor ini dengan lebih tepat.
“Dengan adanya pengkelasan industri dan statistik yang terperinci, penentuan program pembangunan selepas ini akan lebih berpaksikan data. Setiap industri mempunyai saiz dan potensi berbeza, sama ada muzik, e-sukan, media interaktif atau kandungan digital,” ujarnya.
Beliau menambah, data ini turut membantu kerajaan merangka dasar yang lebih tepat, termasuk mengenal pasti potensi pengeluaran tempatan, pembangunan bakat serta peluasan pasaran ke peringkat antarabangsa, selari dengan penekanan industri kreatif dalam pelan pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Penyusunan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif ini selari dengan Sistem Akaun Negara 2008 (SNA) dan Rangka Kerja Statistik Budaya UNESCO 2025, setanding dengan amalan negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Australia, serta beberapa negara ASEAN termasuk Filipina, Thailand dan Indonesia.
Malaysia juga mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 197 negara lain, melonjak ketara daripada kedudukan ke-67 pada penilaian 2022/23.

Mohd Uzir (tiga, kiri) ketika sesi bergambar bersama-sama tetamu kehormat dan para hadirin yang hadir untuk mendengar secara langsung tentang Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 secara menyeluruh. - Foto DOSM
Untuk maklumat lanjut serta visualisasi data interaktif berkaitan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024, orang ramai boleh melayari OpenDOSM NextGen menerusi portal https://open.dosm.gov.my .
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


