TANAH MERAH: Dua individu maut selepas van yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di jalan Kota Bharu-Machang-Jeli berhampiran Kampung Batang Merbau dekat sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, pemandu van terbabit, Muhamad Isyhad Ismi, 20, dan penumpang, Nur Farah Nabilah Che Hasan, 23, maut di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian treler yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun itu datang dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli.

"Apabila sampai di tempat kejadian, van dipandu Muhamad Isyhad dari arah Jeli menghala ke Tanah Merah dipercayai sedang memotong kenderaan lain.

"Van terbabit kemudian telah bertembung dengan treler menyebabkan kenderaan berat itu terbalik di atas jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, siasatan awal turut mendapati kemalangan itu berpunca daripada pemandu van yang sedang memotong sehingga berlakunya kemalangan.

Mohd Haki memberitahu, kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

"Saringan air kencing mendapati pemandu treler terbabit negatif dadah," katanya. - Sinar Harian