KUALA LUMPUR: Dua kadet dari Malaysia akan melanjutkan pengajian di akademi ketenteraan berprestij di Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang menjalani latihan di akademi itu seramai lapan orang.

Mereka ialah Ummi Annur Syahmina Sohaini dan Muhammad Faidh Izzuddin Mat Sahari, yang telah berjaya diterima masuk selepas bersaing dengan rakan-rakan dari seluruh negara.

Ummi Annur Syahmina akan mendaftar di Akademi Tentera Udara AS di Colorado Springs, Colorado, manakala Muhammad Faidh bakal mengikuti pengajian di Akademi Tentera AS di West Point di New York.

Surat tawaran kemasukan disampaikan oleh Duta AS ke Malaysia Brian D. McFeeters di kedutaan di sini pada Khamis.

Menurut duta itu, kemasukan kedua-dua kadet berkenaan untuk menjalani latihan di AS menunjukkan kemajuan penting dalam perkongsian yang terjalin antara AS dan Malaysia.

"Perkongsian antara Malaysia dan AS dalam bidang ketenteraan dan keselamatan siber adalah sesuatu yang amat kami banggakan.

"Kami mahu mewujudkan perkongsian antara belia Malaysia dan belia Amerika yang merupakan satu kelebihan teknikal.

"Pada pandangan saya, kerana jika anda saling berhubung dengan seseorang pada zaman ini, mudah-mudahan hubungan itu akan terjalin sepanjang hayat," katanya dalam ucapannya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan agensi tentera yang lain atas sokongan dan perkongsian mereka dalam mengukuhkan hubungan antara akademi perkhidmatan atau ketenteraan di AS dan Malaysia.

Tahun ini, sebanyak 89 negara telah dipelawa untuk menamakan calon, dengan matlamat untuk mendaftarkan 15 pelajar asing di setiap akademi perkhidmatan tahun ini, katanya.

Kini terdapat lapan kadet dari Malaysia di Akademi Ketenteraan AS iaitu dua di Akademi Tentera AS (West Point, New York), tiga di Akademi Tentera Laut AS (USNA) dan tiga lagi di Akademi Tentera Udara AS (USAFA).

Ummi Annur Syahmina dan Muhammad Faidh akan menamatkan pengajian di akademi masing-masing pada tahun 2027.

-- BERNAMA