Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Dua kali ibu Zara Qairina ditanya mengenai bedah siasat, mahu segerakan pengebumian - Saifuddin

Umavathi Ramayah 18/08/2025 | 06:53 MYT
Saifuddin berkata, ibu mangsa tetap memilih untuk tidak membenarkan bedah siasat dilakukan dan mahu menyegerakan pengebumian anaknya. - Foto Japen
KUALA LUMPUR: Ibu pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir telah ditanya sebanyak dua kali mengenai pelaksanaan proses bedah siasat semasa berada di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.


Ringkasan AI
  • Ibu Zara Qairina menolak bedah siasat sebanyak dua kali di Hospital Queen Elizabeth dan memilih untuk menyegerakan pengebumian anaknya.
  • Penolakan bedah siasat didokumenkan secara sah melalui surat Akuan Enggan Bedah Siasat yang ditandatangani ibu mangsa dan disaksikan ahli keluarga.
  • Polis mengakui wujud ketidakpatuhan prosedur oleh pegawai penyiasat, namun siasatan tetap dijalankan dengan menghormati keputusan ibu mangsa dan akan diperjelaskan melalui inkues.


Namun, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ibu mangsa tetap memilih untuk tidak membenarkan bedah siasat dilakukan dan mahu menyegerakan pengebumian anaknya.

"Pada pukul 3 petang (17 Julai), pegawai penyiasat dimaklumkan doktor mengenai punca kematian dan memaklumkan keputusan untuk menjalankan bedah siasat adalah urusan polis.

"Pegawai penyiasat kemudiannya berjumpa dengan ibu mangsa dan memaklumkan tentang keperluan untuk melakukan proses itu.

"(Namun) ibu mangsa ketika itu menyatakan dia nak menyegerakan pengebumian. Dia nak segerakan kebumi anak dia, dah cukup derita.

"Pegawai polis pula bila minta maklumkan kepada ibu, ibu kata dia tak nak buat, dia nak segerakan pengebumian.

"Kemudian doktor yang bertugas pada pukul 5 petang di bilik mayat sekali lagi menemui ibu mangsa.

"(Namun) Ibunya kekal dengan pendirian bahawa dia nak segerakan pengebumian dan ibu (mangsa) kemudiannya mengisi dan menandatangani surat Akuan Enggan Bedah Siasat mayat atas kemahuan sendiri disaksikan kakak iparnya," katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.

Saifuddin menjelaskan, kesemua proses itu didokumenkan secara sah mengikut kehendak ibu mangsa.

"Di sini, pihak polis dan pengarah siasatan mengakui ada ketidakpatuhan dari segi prosedur siasatan di pihak pegawai polis yang berkenaan.

"(Namun) sikap pegawai penyiasat polis waktu itu menghormati sepenuhnya keputusan itu," jelasnya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bangkit mempersoalkan sama ada ibu mangsa ada diberi penjelasan berhubung kepentingan melakukan bedah siasat ketika kematian itu berlaku.

Menjawab soalan itu, Saifuddin berkata, sama ada ibu mangsa diberi kefahaman berhubung proses bedah siasat, perkara itu boleh dijelaskan melalui inkues nanti.








#Zara Qairina Mahathir #Dewan Rakyat #bedah siasat #buli #Hospital Queen Elizabeth