Dua kanak-kanak lemas ketika mandi di tali air

Dua kanak-kanak lelaki lemas ketika mandi di tali air di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis petang tadi. - Gambar fail
KANGAR: Dua kanak-kanak lelaki lemas ketika mandi di tali air di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis dekat sini petang tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar Supt Baeyah Abdul Wahab berkata mangsa, Iskandar Zulkarnain Mohd Faizal, 8, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kuala Perlis, manakala Muhammad Haikal Hakim Mohd Yuhanis, 10, meninggal dunia di Zon Merah, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 4.40 petang dan siasatan mendapati sebelum kejadian iaitu antara 3.30 petang dan 4 petang, kedua-dua kanak-kanak itu menuju ke padang untuk bermain bola bersama abang masing-masing.
"Abang kepada Iskandar Zulkarnain berusia 10 tahun dan abang kepada Muhammad Haikal Hakim berusia 11 tahun mendapati adik mereka tidak sampai di padang itu, sebelum mereka berpatah balik dan mendapati mangsa sedang bermain air di tali air berhampiran dengan padang.
"Secara tiba-tiba Muhammad Haikal Hakim berenang ke tengah tali air dan kelihatan seperti penat dan tergapai-gapai seakan hendak lemas. Iskandar Zulkarnain yang melihat kejadian tersebut segera ke tengah untuk menyelamatkan rakannya yang hampir lemas," katanya dalam kenyataan malam ini.
POLIS-LEMAS 2 (AKHIR) KANGAR
Baeyah berkata abang kepada Iskandar Zulkarnain kemudian terjun ke dalam tali air itu untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa yang dilihat tergapai-gapai dan tenggelam namun tidak berjaya disebabkan air terlalu dalam.
Beliau berkata kedua-dua abang mangsa segera mendapatkan bantuan penduduk kampung yang kemudian menemukan kedua-dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Perlis manakala Muhammad Haikal Hakim kemudian dibawa ke HTF.
"Siasatan di lokasi kejadian mendapati tali air terletak di kawasan berhampiran rumah penduduk kampung itu baru lepas dikorek untuk lancarkan laluan air dengan kedalaman tali air lebih kurang dua meter," katanya.
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


