Selepas mencatat satu kes positif COVID-19 pada Rabu, Sarawak kembali mencatatkan sifar kes positif hari ini.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Sarawak kekal dengan 570 kes setakat ini.

Perkara itu disahkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Khamis.

Dalam kenyataan itu, JPBN Sarawak turut mengumumkan pertambahan dua kes sembuh dan telah discaj direkodkan di Hospital Umum Sarawak (HUS) Kuching.

“Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah sembuh dan discaj di negeri ini adalah sebanyak 537 orang atau 94.21 peratus,” menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, setakat hari ini juga terdapat 16 kes masih menerima rawatan di wad isolasi hospital melibatkan tujuh kes di HUS dan sembilan kes di Hospital Bintulu.

Manakala 31 kes Person Under Investigation (PUI) baru turut dilaporkan dan tiga kes masih menunggu ujian makmal.