SUNGAI PETANI: Dua kilang dikompaun RM10,000 selepas didapati cuba menipu dengan mengemukakan surat yang mengisytihar kilang memproses barangan keperluan tetapi menjalankan operasi pengeluaran barangan bukan keperluan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, taktik digunakan dua pemilik kilang di Bukit Selambau, Sungai Petani itu berjaya dikesan polis dalam serbuan jam 10.30 malam Sabtu.

Jelasnya, hasil pemeriksaan di kilang kitar semula logam dan kilang kayu arang itu mendapati kedua-duanya dikesan menjalankan operasi dan melanggar prosedur operasi standart (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, serbuan pertama ke atas kilang kitar semula logam mendapati ia masih menjalankan operasi pada jam 10.30 malam, apabila palong bakarnya masih menyalakan api dan asap tebal keluar daripada serombong.

Manakala dalam serbuan kedua, pekerja di kilang kayu arang berkenaan sengaja melengahkan pihak polis dengan memaklumkan kunci pintu tiada pada mereka sehingga memaksa anggota polis bertindak memanjat pagar untuk masuk.

Adzli memaklumkan tindakan pekerja itu sebenarnya untuk melupuskan bukti dengan menutup suiz dan mencurah air ke dapur pembakaran untuk mengatakan kilang itu tidak menjalankan operasi.

"Dia isytihar secara tidak jujur dalam surat yang dikeluarkan itu. Dia kata mengeluarkan minyak dan gas sedangkan kita tengok tidak ada kaitan. Jadi, ia bukan sektor perlu jadi itu adalah terang-teranga satu kesalahan," katanya.

Kompaun sebanyak RM10,000 dikeluarkan ke atas dua pemilik kilang kerana melanggar SOP yang ditetapkan mengikut Peraturan 16 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

Sementara itu, pemeriksaan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati kilang memproses kayu arang itu juga gagal menyediakan asrama pekerja yang sempurna dan tidak mengikut peraturan ditetapkan sekali gus boleh menyebabkan penularan penyakit.

Pegawai JTK daerah Kuala Muda, Zul Azizi Zainon menjelaskan, kilang itu juga didapati menggunakan 13 pekerja warga asing.

"Majikan ini gagal mendapatkan perakuan penginapan daripada kita. Dari segi kemudahan asas yang perlu disediakan juga mereka tidak dapat lengkapkan iaitu tilam setiap pekerja mesti disediakan oleh majikan sekurang-kurangnya ketebalan empat inci dan juga almari yang berkunci," jelasnya.

Kilang itu dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 dibawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) berikutan tidak menyediakan kemudahan asas mencukupi dan Seksyen 24D Akta 446 selain asrama pekerja warga asing ditempatkan dalam kawasan kilang didapati tidak mempunyai perakuan penginapan.

Kilang itu juga tidak mempunyai pengesahan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Bagaimanapun hasil pemeriksaan terhadap 13 pekerja asing di kilang berkenaan mendapati, kesemua mereka mempunyai pasport dan dokumen yang sah.