KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatatkan dua lagi kluster baharu penularan COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Menurut beliau salah satu daripadanya telah dikesan di daerah Lahad Datu dengan sembilan kes kumulatif dicatatkan setakat ini.

"Kes indeks dikesan positif melalui saringan bergejala di Hospital Lahad Datu pada 22 Mac, disusuli satu lagi kes positif dikesan melalui saringan bergejala pada 24 Mac lalu.

"Kedua dua kes adalah pekerja Kilang Sebrang, Mukim Silabukan Lahad Datu. Kontak-kontak rapat kes telah dikenal pasti dan punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

Satu lagi kluster baru yang dikesan di negeri ini adalah dari daerah Penampang, iaitu Kluster Kolam Lintas yang melibatkan tujuh pekerja syarikat insuran berpejabat di daerah tersebut yang didapati positif COVID-19.

"Kes indeks dikesan positif COVID-19 pada 24 Mac melalui saringan bergejala disusuli enam lagi kes hasil saringan kontak rapat dari kes indeks.

"Nama kluster berdasarkan nama tempat kesemua kes bekerja atau membuat lawatan," katanya sambil menambah punca jangkitan masih dalam siasatan.

Sabah hari ini mencatatkan pertambahan 51 kes positif COVID-19 yang baharu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,521 kes.

Tiga daerah yang mencatatkan pertambahan kes tertinggi ialah Tawau (13 kes), Keningau (11 kes) dan Lahad Datu (9 kes), manakala 16 daerah lain mencatatkan sifar kes.

Masidi yang juga merupakan jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata daripada 51 kes positif COVID-19, sebanyak 28 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, enam kes saringan bergejala, 15 kes dari kluster baharu dan sedia ada serta dua kes dari lain-lain kategori.

Hanya lima daerah di Sabah diisytiharkan sebagai zon hijau, iaitu Ranau, Pitas, Kuala Penyu, Semporna dan Tongod.