KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat dua kluster baharu dikenal pasti pada Selasa, Kluster Batu di Taiping, Perak dan Kluster Ramai-Ramai di Sandakan, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh kes positif baharu dikesan di Kluster Batu manakala 20 individu disahkan positif daripada Kluster Ramai-Ramai.

“Kluster Batu dikenal pasti hasil saringan di kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan.

“Hasil saringan ini mendapati sebanyak tujuh kes dikesan positif COVID-19 pada 5 Oktober 2020 dan mereka semua telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

"Sehingga 6 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 860 individu telah disaring. Keputusan saringan ialah tujuh dikesan positif, 182 individu negatif dan 671 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media khas berkaitan COVID-19 pada Selasa.

Tambah beliau, kes indeks bagi Kluster Ramai-Ramai pula melibatkan seorang pemandu bas yang mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 September 2020.

BACA: COVID-19: 691 kes baharu dilaporkan, majoriti di Penjara Alor Setar

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemaskini setiap hari)

Menurutnya, kes dikesan positif pada 3 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 19 lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.

“Sehingga 6 Oktober 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 166 individu telah disaring. Keputusan saringan ialah 20 dikesan positif dan 146 individu masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Punca jangkitan bagi kes di kedua-dua kluster berkenaan masih dalam siasatan.