MERLIMAU: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengesan penularan jangkitan COVID-19 di dua kolej vokasional di negeri itu, selepas 87 pelajar disahkan positif di institusi pendidikan berkenaan.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Dr Muhamad Akmal Salleh berkata, kedua-dua kolej itu turut diisytiharkan sebagai kluster bagi mengawal penularan jangkitan.

Dua kolej itu masing-masing Kolej Vokasional Melaka Tengah diisytihar sebagai Kluster Jalan Tun Telani dan Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin di daerah Jasin dikategori sebagai Kluster Jalan Kemendor Jasin.

Beliau berkata, bagi Kolej Vokasional Melaka Tengah seramai 76 pelajar disahkan positif COVID-19 yang mana jangkitan melibatkan 71 pelajar lelaki dan lima pelajar perempuan itu dikesan selepas 176 saringan membabitkan warga kolej dijalankan sejak 14 Januari lalu.

[TERKINI] COVID-19 | Dua kluster libatkan kolej vokasional di Melaka


Manakala bagi Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin seramai 11 pelajar dikenalpasti positif COVID-19 selepas 70 saringan membabitkan pelajar dan warga kolej dijalankan.

“Setakat ini hanya satu kolej vokasional kita tutup sebab ia sudah melibatkan kluster, satu lagi dalam siasatan dan kemungkinan ia ditutup itu ada tetapi ia bergantung kepada hasil siasatan yang kita dapat.

“Jika hasil siasatan mendapati bahawa kita perlu menutup, kita akan tutup, setakat ni kemungkinan besar nampak seakan ia boleh dikawal. Sehingga hari ini tiada lagi yang bergejala.. esok atau lusa kita tak tahu. Setakat hari ini pelajar yang dikuarantin di PKRC, okay,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Merlimau pada Rabu.

Mengulas lanjut katanya, kedua-kedua kluster berkenaan dikesan selepas kes indeks pertama mengalami gejala dan disahkan positif COVID-19 selepas memulakan sesi persekolahan.

Katanya, Kolej Vokasional Melaka Tengah sudah diarahkan tutup sehingga Jumaat ini manakala arahan penutupan Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin akan dibuat sekiranya berlaku pertambahan kes positif.

Bagaimanapun jelasnya, kedua-dua kes berkenaan tidak mempunyai kaitan dan pihaknya yakin kawalan penularan jangkitan berkenaan berjaya dibendung.

Jelasnya, penularan kes di institusi pendidikan itu dipercayai berlaku kerana kes yang bergejala masih hadir ke kelas, seterusnya merebak kepada rakan-rakan yang lain.

Tambahnya, melalui penilaian risiko juga terdapat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat berisiko seperti di surau, kelas dan juga bilik asrama.

Jelas Akmal, meskipun punca jangkitan kedua-dua kes indeks masih dalam siasatan, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan jangkitan itu diterima dari luar.

Ia berdasarkan masa inkubasi virus yang mana pelajar pertama dikesan positif COVID-19 membabitkan kedua-dua kluster berkenaan kembali ke sekolah pada 9 Januari lalu dan mula bergejala tiga hari kemudian.