Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang di Istana Abdulaziz hari ini.

Mereka ialah ADUN Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan ADUN Batu Talam, Datuk Abd Aziz Mat Kiram.

Upacara Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menerusi pelantikan itu, lengkap sudah barisan Exco kerajaan negeri, selepas lapan daripadanya, termasuk Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang mengangkat sumpah pada 15 Mei lalu.

Bagaimanapun, portfolio yang bakal disandang dua Exco yang baharu mengangkat sumpah itu belum diputuskan.

Sebelum ini, Wan Rosdy yang kini memegang empat portfolio berkata, beliau akan melepaskan dua daripadanya sebaik Exco baharu dilantik.