Dua lagi mayat pengganas Sulu yang bertempur dengan pasukan keselamatan di Sungai Nyamuk , Tanjung Batu semalam ditemui hari ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kedua-dua mayat tersebut dijumpai ketika operasi penggeledahan dilakukan oleh pasukan keselamatan di tempat tersebut sekitar jam 7.15 pagi.

“Turut ditemui bersama mereka adalah selaras senapang jenis M1 Garand dan sepucuk pistol Colt.45 yang dipercayai digunakan oleh pengganas itu untuk menembak seorang anggota tentera kita yang terkorban,” kata Zulkifeli.

Menurut Zulkifeli lagi, kawasan penggeledahan semakin diperluas meliputi kawasan Sungai Nyamuk, tiga kilometer berhampiran kawasan pesisir pantai di kawasan itu.

“Pasukan keselamatan mengambil keputusan untuk membuat penggeledahan di Sungai Nyamuk, iaitu satu kawasan yang letaknya diantara kawasan Kampung Tanduo dan Kampung Sungai Batu,” kata beliau lagi.

Operasi ‘mopping-out’ dan penggeledahan ini dijangka akan selesai pada esok dan Zulkifeli yakin kawasan-kawasan yang terlibat akan dapat ‘dibersihkan’ dan dikuasai sepenuhnya oleh pasukan keselamatan menggunakan guna tenaga pasukan keselamatan dan sistem tertentu.

“Ini adalah untuk memastikan ancaman musuh tidak dapat masuk atau menembusi kawasan ini,” katanya.

Selain itu juga, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membawa masuk beberapa aset-aset pertahan mereka dalam mengukuhkan pertahanan di kawasan yang terlibat.

“Beberapa helikopter dari Pasukan Udara Tentera Darat dan 12 kereta perisai (Armoured Personnel Carrier) akan dibawa ke lokasi terlibat dan akan tiba disini dalam beberapa hari lagi,” kata Zulkifeli.

Tiada sebarang pertempuran berlaku sepanjang hari ini namun operasi penggeldeahan menjejak musuh masih giat dijalankan dikawasan-kawasan terlibat.

Pengganas dipercayai telah berpecah kepada kelompok kumpulan-kumpulan dan risikan pasukan keselamatan telah dikerah untuk mengesan kedudukan mereka.

Sehingga hari ini, 58 pengganas telah ditembak mati dalam ‘Operasi Daulat’ dan sebanyak 26 mayat mereka berjaya dikeluarkan dari kawasan konflik.