NATIONAL
Dua lelaki didakwa edar hampir 600kg dadah di Setiu

Nik Khairil Shahruzie Nik Rozlan dan Muhamad Reduan Meor Hussin, didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin seberat 591.39 kilogram (kg) di sekitar Setiu. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin seberat 591.39 kilogram (kg) di sekitar Setiu, bulan lepas.
Ringkasan AI
- Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengedar 591.39kg methamphetamine dan heroin di Setiu, dengan seorang lagi suspek masih bebas.
- Kes dikendalikan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 15 sebatan jika sabit kesalahan.
- Mahkamah menetapkan 3 Ogos sebagai tarikh sebutan semula, sementara polis mengesahkan kes ini sebagai salah satu rampasan dadah terbesar di Pantai Timur tahun ini, bernilai RM25 juta.
Sementara itu, Muhamad Reduan turut berdepan satu lagi pertuduhan mengedar 1.02kg methamphetamine kira-kira 10 malam hari sama di tepi Pulau Tok Bilal, Sungai Setiu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Najah Azhar mengendalikan kes, manakala Nik Khairil Shahruzie diwakili peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi dan Muhammad Izzat Hasizan, sementara peguam Syameer Haziq Shaharuddin mewakili Muhamad Reduan.
Mahkamah menetapkan 3 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Setiu.
Pada Isnin, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali memaklumkan polis menahan dua individu kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah terbesar di Pantai Timur tahun ini, membabitkan rampasan hampir 600kg methamphetamine dan heroin bernilai RM25 juta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami