PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas dua lelaki kerana memiliki kapak dan pisau di tempat awam tanpa kebenaran.

Panel tiga hakim menolak rayuan Mohd Mohd Saufi Kembaren Zulfri, 29 dan Muhammad Aiman Hakimi Hashim, 24, terhadap sabitan dan hukuman penjara itu.

Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said yang mengetuai panel berkata mahkamah tidak menemukan sebarang kesilapan oleh pihak mahkamah yang menjatuhkan hukuman sebelum ini.

Dua hakim lain ialah Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah.

Mohd Saufi, seorang pengusaha setor makanan dan Muhammad Aiman, seorang penganggur, diarahkan menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Sebelum ini mereka dilepaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuan.

Mohd Saufi didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 30 Sept, 2021 kerana memiliki sebilah kapak dan dua bilah pisau, manakala Muhammad Aiman disabitkan kesalahan kerana memiliki sebilah pisau.

Mereka didakwa di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan kedua-duanya dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan itu yang dilakukan di sebuah tapak projek di Air Panas, Setapak, Daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 1 pagi 18 Julai, 2020.

Mohd Saufi dan Muhammad Aiman gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Tinggi pada 15 Jun tahun lepas.

Menurut fakta kes, polis yang menjalankan rondaan di kawasan itu menerima maklumat daripada orang awam bahawa terdapat pergaduhan berhampiran Projek Perumahan Rakyat Bonus Air Panas di Setapak.

Enam anggota polis tiba di kawasan itu dan salah seorang daripada mereka menyedari kedua-dua lelaki itu berkelakuan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan menemukan dua pisau dan sebilah kapak dalam beg Mohd Saufi dan sebilah pisau dalam poket seluar Muhammad Aiman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke manakala kedua-dua lelaki itu diwakili peguam B.Puvarasan.

-- BERNAMA