GEORGE TOWN: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki Indonesia yang ditemukan dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi pada kerusi di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Jelutong di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata hasil risikan dan intipan, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang merupakan rakan serumah mangsa di sebuah hotel di Jalan Penang, di sini pada 12.10 tengah malam tadi.

"Seorang lagi lelaki tempatan berusia 45 tahun pula ditahan pada 1.30 pagi tadi di sebuah rumah di Jalan Lintang Air Itam, di sini. Kedua-duanya kini direman hingga 29 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata sebelum ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun kini disiasat sebagai kes bunuh memandangkan terdapat beberapa perkara mencurigakan khususnya penggunaan rantai besi pada kaki mangsa dan tindakan rakan serumah si mati melarikan diri sejurus kejadian itu.

Menurutnya, bedah siasat yang dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati mangsa yang berusia 33 tahun meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan selepas jatuh dari tempat tinggi selain turut positif COVID-19.

Soffian berkata, polis sedang menyiasat lanjut punca sebenar kejadian dan tujuan mangsa bersama rakan serumahnya datang dari Melaka ke Pulau Pinang sejak 13 April lepas.

"Berdasarkan laporan bedah siasat juga, pemeriksaan ke atas mayat tidak menemukan sebarang tanda pergelutan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Soffian berkata seorang pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan Desasiswa Tekun di universiti itu malam tadi.

Beliau berkata mayat lelaki berusia 22 tahun itu ditemukan di pekarangan bangunan berkenaan dan polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 10.30 malam.

"Polis akan merekodkan keterangan rakan sebilik pelajar itu dan beberapa saksi yang melihat kejadian untuk membantu siasatan," katanya dengan menambah mayat dihantar ke HPP untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-- BERNAMA