KUALA LUMPUR: Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) menggesa kerajaan untuk mencontohi langkah proaktif yang diumumkan negara ASEAN lain dan mempercepat pelaksanaan penggunaan campuran biodiesel yang tinggi di seluruh negara melalui program biodiesel nasional bagi sektor pengangkutan dan perindustrian.
Menurut persatuan itu, Indonesia dan Thailand telah mengumumkan langkah untuk menambah baik program biodiesel nasional di kedua-dua negara dengan meningkatkan tahap campuran biodiesel.
Advertisement
“Indonesia telah beralih daripada B40 kepada B50 manakala Thailand daripada B5 kepada B7 dan memperluas ketersediaan B20 sebagai pilihan alternatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MBA tahap campuran biodiesel yang tinggi antara B10 hingga B20 perlu segera dilaksanakan di kawasan yang mempunyai infrastruktur campuran yang telah bersedia dari segi teknikal.
“Walaupun MBA mengakui perkembangan ke arah campuran yang tinggi telah dikekang oleh kesiapsiagaan infrastruktur campuran, kerajaan perlu mempercepat proses naik taraf bagi membolehkan tahap campuran sehingga B30 dilaksanakan di seluruh negara.
"Situasi global pada masa ini menunjukkan ini bukan lagi soal pilihan dasar, tetapi satu perkara yang mempunyai kepentingan strategik negara," katanya.
MBA yakin bahawa, dengan memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar utama minyak sawit, kerajaan perlu terus menggalakkan penggunaan biodiesel di luar program campuran biodiesel nasional dengan mengecualikan cukai jualan 10 peratus ke atas biodiesel.
“Impak gabungan antara program biodiesel nasional dan penggunaan biodiesel secara sukarela akan meningkatkan keselamatan tenaga, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menjimatkan pertukaran asing.
“Selain itu, manfaat lain termasuk mengurangkan pendedahan kepada kejutan harga minyak global, meningkatkan ketahanan fiskal selain terus menyokong sektor minyak sawit domestik dan kehidupan luar bandar,” katanya.
Sementara itu, MBA sekali lagi menegaskan sokongan kukuh terhadap mandat campuran biodiesel yang tinggi sebagai antara objektif nasional Malaysia dalam tempoh terdekat dan lebih panjang.
“Kedudukan ini harus diperkukuhkan lagi dalam kajian semula Dasar Biobahan Api Negara yang akan datang, disokong oleh strategi biodiesel jangka panjang yang rapi dan jelas.
“Pelaksanaan mekanisme cukai karbon yang akan diperkenalkan di Malaysia sewajarnya terus menggalakkan dan membenarkan penggunaan campuran biodiesel yang tinggi dalam sektor pengangkutan dan perindustrian.
“Hala tuju dasar yang jelas akan memberikan keyakinan yang diperlukan kepada industri, pelabur dan pengguna,” katanya.
Menurut MBA krisis pada masa ini bukan sahaja memberi risiko malah menjadi peluang untuk Malaysia mengukuhkan komitmen terhadap penyelesaian tenaga mampan berasaskan sumber domestik.
“MBA bersedia untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam memajukan agenda nasional yang penting ini,” katanya.
-- BERNAMA