SANDAKAN: Dua lelaki ditahan polis selepas melakukan jenayah samun di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Mawar Sandakan pada Rabu malam.

Suspek berusia 24 tahun dan 25 tahun masing-masing warga tempatan dan asing itu diberkas kira-kira jam 10.30 malam di kawasan setinggan Kampung Sundang Laut.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Aisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kejadian samun berkenaan berlaku pada Isnin melibatkan dua orang suspek lelaki.

Menurutnya, dalam kejadian samun itu, telefon bimbit mangsa iaitu seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, dilarikan oleh kedua-dua suspek yang menggunakan sebuah motosikal.

“Video kejadian samun berkenaan berdurasi 71 saat kemudiannya turut tersebar di media sosial sebelum mangsa membuat laporan polis.

“Susulan laporan dibuat mangsa, kedua-dua suspek kemudiannya  berjaya diberkas anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, di kawasan setinggan berkenaan, tidak sampai 24 jam laporan polis dibuat mangsa.

“Polis turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan jenayah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.

Abdul Fuad berkata, kedua-dua suspek kini direman dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Terdahulu, sejak kelmarin tular video kejadian suspek menyamun di sebuah kedai dobi, di Taman Mawar, Sandakan.

Dalam video itu, kelihatan suspek memakai topi keledar berpura-pura mundar-mandir di kedai dobi itu sebelum tiba-tiba menyamun seorang remaja.