KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga tempatan dituduh di Mahkamah Shah Alam kerana disyaki menjual gelaran 'Datuk Seri' dari Istana Selangor Darul Ehsan dengan harga RM600,000.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya ditipu dalam urusan mendapatkan pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan, Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran 'Datuk Seri', pada Februari lalu.

"Untuk meyakinkan mangsa, suspek telah memberikan sepucuk surat yang kononnya dikeluarkan oleh pihak istana bagi pengurniaan darjah tersebut dan mangsa yang terpedaya telah menyerahkan wang sebanyak RM140,000 secara berperingkat.

"Bagaimanapun mangsa berasa telah ditipu oleh suspek apabila mendapati namanya tidak ada dalam senarai penerima darjah membuatkan dia tidak menjelaskan baki bayaran kepada suspek sebaliknya membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hussien berkata, pihaknya melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan jenayah penipuan.

Tambahnya, pihak Istana Negeri Selangor juga telah mengesahkan bahawa surat dikeluarkan suspek untuk diberikan kepada mangsa adalah palsu.

Sehubungan itu, pada 15 Mac dan 17 Mac pihaknya telah membuat dua siri serbuan di Melaka dan Selangor yang membawa kepada penahanan dua suspek yang terlibat dalam kes tersebut.

"Turut dirampas di dalam serbuan berkenaan adalah surat palsu dan beberapa telefon bimbit yang digunakan oleh kedua-dua suspek dalam aktiviti penipuan ini.

"Polis ingin menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan tipu helah yang dilakukan oleh individu atau kumpulan individu dalam urusan pembelian darjah kebesaran.

"Pihak polis telah mendapat pengesahan dengan pihak istana bahawa tidak sesekali wujud penjualan darjah kebesaran daripada pihak istana dan kegiatan jenayah ini juga mencemarkan nama baik dan imej istana Selangor Darul Ehsan.