RAUB: Dua lelaki maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di laluan Raub- Bentong berhampiran stesen minyak Five, Jalan Tras, di sini, pagi tadi.

Kejadian tersebut telah meragut nyawa Mohd Kamal Hakim  Mohd Raslan yang beralamat di Kampung Genting Penjom, Lipis dan Mohd Zulkifli Nasaruddin yang beralamat di Kampung Baru Lebak, Temerloh.

Ketua Zon 3 Bomba Pahang, Shahrulnizam Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.15 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki dua buah jentera.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak kami mendapati berlaku kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Xpander yang bertembung secara berhadapan.

"Dua lelaki di dalam kereta Viva telah tersepit dan pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang remuk dengan menggunakan peralatan khas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Beliau berkata, dua lelaki berkenaan disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertugas.

Jelasnya lagi, kemalangan itu turut menyebabkan seorang wanita mengalami kecederaan manakala seorang lelaki selamat.

"Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Raub untuk menerima rawatan manakala dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Pasukan bomba seterusnya melaksanakan kerja pembersihan sisa debris jalan raya akibat kemalangan dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula," katanya.