Dua maut, lima nyaris lemas ditelan ombak Pantai Penunjuk

Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti air, terutama di pantai yang tidak diwartakan sebagai kawasan selamat untuk mandi. - Sinar Harian
TERENGGANU: Hasrat tujuh sekeluarga menikmati waktu petang dengan bersantai di Pantai Penunjuk, Kijal, Kemaman di Terengganu bertukar duka apabila dua daripada mereka meninggal dunia selepas dipercayai dibawa arus deras, manakala lima lagi nyaris lemas dalam kejadian yang berlaku Sabtu lalu.
Insiden menyayat hati itu berlaku kira-kira jam 4.15 petang ketika kesemua mereka dikatakan sedang mandi di pesisir pantai sebelum ombak besar secara tiba-tiba menarik mereka ke kawasan laut yang lebih dalam.
Menurut Superintenden Mohd Razi Rosli, Ketua Polis Daerah Kemaman, ahli keluarga serta orang awam yang berada di lokasi berjaya menyelamatkan lima mangsa daripada lemas, namun dua lagi ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Seorang mangsa, iaitu kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun, telah dibawa oleh keluarganya ke Klinik Kesihatan Kijal untuk rawatan kecemasan, tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 5.23 petang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Tambah beliau, seorang lagi mangsa merupakan wanita berusia 39 tahun yang juga ibu saudara kepada kanak-kanak terbabit.
Wanita itu turut ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Kemaman, namun disahkan meninggal dunia sekitar jam 5.42 petang.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kijal, Penolong Penguasa Bomba Azizee Alias memaklumkan bahawa semua mangsa yang terselamat telah berjaya dikeluarkan dari air oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
“Setibanya kami di tempat kejadian, anggota bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa-mangsa yang terlibat sebelum mereka diserahkan kepada pasukan perubatan dan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Kes ini kini dikendalikan sebagai kes mati mengejut dan pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti air, terutama di pantai yang tidak diwartakan sebagai kawasan selamat untuk mandi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami