JOHOR BAHRU: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki hilang kawalan dan melanggar tembok pembahagi jalan di Jalan Bukit Impian-Senai di sini pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Pegawai Bomba Kanan II Wan Nor Affendi Wan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 3.15 pagi.

Susulan itu katanya, seramai 20 anggota dari BBP Kempas dan BBP Skudai dibantu masing-masing sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Fire Response Vehicle (FRV) dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Wira dinaiki lima lelaki terbabas dan telah melanggar tembok pembahagi jalan. Pihak bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa yang terperangkap dengan menggunakan 'Rescue Tools'.

"Dua mangsa, N Khatiravan, 23, dan M Arvindran, 20, meninggal dunia di tempat kejadian dan telah disahkan pegawai perubatan yang hadir," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa lain iaitu V Thineswaran, 22, cedera parah manakala S Arivin, 24, dan Muhammad Syafiq Abdullah, 36, cedera ringan.

Katanya, dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis manakala dua mangsa yang cedera dibawa dengan EMRS ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, manakala seorang lagi dibawa ke HSA dengan kenderaan awam.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian