Seorang lelaki dan wanita maut selepas van dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Bonus di KM 8.1 dekat Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) Kuala Lumpur hari ini.

Kejadian kira-kira 2 petang itu berlaku apabila van yang dipercayai dipandu laju terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh besi penghadang dan terjunam ke sungai.

"Akibatnya, van yang dipandu G. Logesvaran, 21, dan G. Nirmaladevi, 41, yang merupakan penumpang maut di tempat kejadian," kata Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning.

Bagaimanapun, kaitan antara kedua-dua mangsa belum dapat dipastikan.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dua jentera bomba dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam dilihat berada di lokasi kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa.