Biarpun sudah genap setahun tragedi tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang, Kelantan melarikan diri dari asrama sekolah berlalu, dua murid Orang Asli yang dijumpai selamat masih lagi trauma.

Trauma itu membuatkan Mirsudiar Aluj, 12, serta Norieen Yaakob masih belum memulakan sesi persekolahan sehingga kini.

Dalam kejadian 23 Ogos tahun lalu, tujuh murid SK Tohoi iaitu Mirsudiar Aluj, 12, Norieen Yaakob, 11, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, Juvina David, 7, Ika Ayel, 9, dan Sasa Sobrie, 8, lari dari asrama sekolah itu kerana takut dimarahi guru.

Selama 47 hari kehilangan mereka, Mirsudiar dan Norieen dijumpai selamat di bawah banir pokok di tebing sungai.

Selepas kejadian itu, hampir 100 murid SK Tohoi yang tinggal di Kampung Penad dan Gawin dihalang ibu bapa masing-masing untuk hadir ke sekolah kerana bimbang kejadian sama berulang lagi.

Ibu Norieen, Midah Angah, 41, berkata sejak bulan Mei lalu, Norieen telah tinggal bersama ibu saudaranya di Kuala Lumpur untuk melupakan tragedi yang berlaku.

"Norieen sekarang tak tahulah keadaannya. Dia pergi ke Kuala Lumpur rumah emak saudaranya pada bulan lima (Mei) dan dijangka balik pada bulan 10 (Oktober). Memang dia nak sekolah, tapi bila, tak tahu lagi," ujarnya sambil menambah anaknya itu bagaimanapun tidak mahu kembali ke sekolah yang sama.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah, Muhammad Zahari Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya masih memberi pilihan kepada dua murid itu untuk memilih sekolah yang mereka mahu bagi melanjutkan pelajaran.

Katanya, sebahagian besar murid lain di dua buah kampung Penad dan Kampung Gawin yang sebelum ini trauma untuk ke sekolah juga telah bersekolah semula.