Dua nelayan Kuala Muda, dekat Penaga, Kepala Batas yang dikhuatiri hilang ketika ketika keluar memukat ikan Jumaat lalu ditemui selamat pada petang Ahad.

Yashir Abd Hamid, 50 tahun, dan awak-awak Ku Izrul Rizal, yang berusia 30-an, ditemui sekumpulan nelayan kira-kira 40 batu nautika dari pantai Kuala Muda.

Mereka ditemui susulan operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Polis Marin dan nelayan.

Menurut Yashir, enjin bot fiber yang dinaikinya rosak menyebabkan dia dan Ku Izrul terpaksa membiarkan bot dihanyutkan ombak.

Selama dua hari mereka terpaksa menahan lapar selain gagal menghubungi rakan kerana masalah talian.

"Takut-takut tu biasa.. dah 30 tahun lebih. Sebelum ni pernah jadi banyak kali enjin rosak, dan masalah enjin. Selama dua, tiga hari juga (terkandas). Masuk hari ni, hari kedua, ketiga. Ni pun dah kali kedua atau ketiga," katanya.

Yashir dan Ku Izrul ketika ditemui dalam keadaan lemah tetapi stabil dan kemudiannya dibawa ke jeti Kuala Muda.

Mereka diberi rawatan oleh pegawai perubatan Hospital Kepala Batas sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

BACA: Dua nelayan tidak pulang, dikhuatiri hilang di laut

Kedua-dua mereka keluar ke laut pada jam 4 petang Jumaat lalu dan sepatutnya pulang ke jeti Kuala Muda pada jam 11 malam hari yang sama.

Isteri Yashir, Mosliza Sharif berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari suaminya.

"Alhamdulillah, dah jumpa dan pulang dengan selamat dan sihat. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu mencarinya," kata Mosliza.

Sementara itu, Pengarah APMM Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, operasi mencari dan menyelamat dua nelayan yang hilang merangkumi keluasan 135 batu nautika.

"Alhamdulillah, pada 3 haribulan, pada jam 4.20 petang, nelayan ditemui selamat dan selamat sampai di jeti Kuala Muda. Pihak APMM ucap terima kasih kepada polis marin dan nelayan yang terlibat mencari bot yang hilang itu," katanya.