JOHOR BAHRU: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan memperdaya dan meminta suapan berjumlah RM40,000 ringgit ke atas seorang individu pada 14 Oktober lalu.

Kedua- dua tertuduh bagaimanapun membuat pengakuan berbeza.

Tertyuduh pertama, Amir Izham Shahak, 32, mengaku bersalah.

Sementara tertuduh kedua, Wan Kamarul Za'im Wan Mansor, 34, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan pilihan, mereka sebagai Penolong Penguasa SPRM menerima rasuah sebanyak RM40,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan bagi menyelesaikan kes yang disiasat SPRM ke atas lelaki berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai makan di Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 akta sama.

Hakim menetapkan jaminan RM7,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan passport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes dan keputusan hukuman bagi kedua-dua tertuduh pada 24 November depan.