Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS berikutan kelemahan dolar

Pada jam 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0650/0765 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong oleh kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS), Indeks Dolar AS merosot 0.33 peratus kepada 98.271 mata dalam persekitaran volum dagangan rendah berikutan minggu dagangan yang singkat disebabkan cuti umum.
Pada jam 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0650/0765 berbanding dolar AS 4.0770/0800 ketika ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY yang lebih lemah sebahagian besarnya disebabkan oleh pengurangan penyertaan pasaran semasa tempoh musim perayaan, ditambah pula dengan kenyataan yang cenderung untuk menurunkan kadar faedah daripada beberapa pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS.
Beliau berkata bahawa beberapa petunjuk daripada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) baru-baru ini mencadangkan pendirian berhati-hati tetapi akomodatif dengan penggubal dasar kekal sehaluan terhadap pemilihan masa untuk melaksanakan pelarasan kadar faedah pada masa depan.
"Keputusan FOMC terbaharu pada 10 Disember lepas menyaksikan pandangan berbeza dalam kalangan ahlinya di mana dua mengundi untuk mengekalkan penanda aras manakala seorang ahli memilih untuk mengundi menyokong penurunan 50 mata asas," katanya kepada Bernama.
Beliau menjangkakan permintaan yang berlanjutan untuk dolar AS dalam keadaan dagangan serantau yang lemah dengan ketiadaan pemangkin baharu, ringgit dijangka akan berlegar antara RM4.07 dan RM4.08 berbanding dolar AS.
Pada pembukaan, ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 2.5908/5983 daripada 2.5896/5916, merosot berbanding pound Britain kepada 5.4751/4906 daripada 5.4750/4790, bagaimanapun meningkat berbanding euro kepada 4.7821/7956 daripada 4.7827/7862 ketika ditutup semalam.
Unit tempatan melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.1556/1647 daripada 3.1592/1618, naik berbanding baht Thailand kepada 13.0560/1022 daripada 13.0740/0895, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 242.2/243.1 daripada 242.9/243.3 sebelum itu dan menambah berbanding peso Filipina kepada 6.92/6.94 daripada 6.94/6.95 sebelumnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


