NATIONAL
Dua pembantu kesihatan awam direman disyaki terima rasuah RM54,000

Perintah reman terhadap dua lelaki itu dikeluarkan hakim selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang. - Astro AWANI
GEORGE TOWN: Dua pembantu kesihatan awam di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang direman tiga hari bermula hari ini kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM54,000 daripada seorang kontraktor, tahun lepas.
Perintah reman terhadap dua lelaki berusia 30-an dan 60-an itu dikeluarkan Hakim Juraidah Abbas di Mahkamah Sesyen di sini selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.
Kedua-dua suspek ditahan pada 2.30 petang semalam, semasa hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri.
Menurut sumber, mereka dipercayai meminta dan menerima rasuah kira-kira RM54,000 daripada seorang kontraktor lelaki pada Januari 2024."Ia sebagai balasan mendapatkan beberapa lesen penjaja sementara bagi gerai jualan sempena Tahun Baharu Cina 2024 di sekitar Pulau Pinang," kata sumber.
Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dua suspek itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami