Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan bahawa tompokan putih dan berbau yang ditemui di sekitar pangsapuri Birch dekat Bandar Tasik Puteri, di sini adalah kesan tumpahan raksa ataupun merkuri.

Pemeriksaan dilakukan oleh pihak JBPM malam tadi selepas menerima laporan dari penduduk.

Ia setelah dua individu termasuk seorang remaja 15 tahun dikejarkan ke hospital selepas mengadu mengalami sesak nafas.

Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati terdapat sekurang-kurangnya tiga lokasi dipercayai tercemar akibat tumpahan raksa tersebut.

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya telah mengerahkan dua jentera ke kawasan berkenaan membabitkan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bagi membersihkan kawasan tersebut.

“Saya ingin menasihatkan kepada penduduk di kawasan perumahan ini jika ada apa-apa yang mencurigakan untuk berhubung terus kepada pihak polis ataupun pihak bomba untuk tindakan awal.

"Kita juga menasihatkan jika mereka menjumpai sesuatu barang yang tidak pasti ataupun barang yang agak pelik sikit dan sebagainya sila berhubung dengan pihak polis dan juga pihak bomba. Kita minta supaya mereka ini menjauhi bahan kimia yang tidak diketahui asal usulnya,” katanya.

Sementara itu dua mangsa yang terlibat dikenalpasti sebagai I. Matesh,15, dan Mad Hasim, 44.

Kesemua penghuni blok pangsapuri berkenaan juga turut dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

Kerja-kerja pembersihan juga dilakukan sehingga jam 1 pagi tadi.