Skip to main content

Malaysia

Dua penunggang maut dalam kemalangan dua motosikal di Bemban

Dua penunggang motosikal maut selepas bertembung di Jalan Gapam berhampiran Petronas Bemban pada Khamis. -- SINAR HARIAN
Dua penunggang motosikal maut selepas bertembung di Jalan Gapam berhampiran Petronas Bemban malam tadi. - Foto Sinar Harian
Advertisement

JASIN: Dua penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Gapam berhampiran stesen minyak di Bemban di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin Superintenden Lee Robert berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, kedua-dua mangsa iaitu seorang pelajar kolej berusia 21 tahun dan pemandu lori berusia 41 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang pelajar terbabit bergerak dari arah Bemban menghala ke Ayer Keroh, manakala motosikal yang ditunggangi pemandu lori terlibat dari arah Ayer Keroh menuju Bemban.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggangi lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai sedang memotong kenderaan di hadapannya dan telah masuk ke laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa berusia 21 tahun yang bergerak lurus di laluannya.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau kamera papan pemuka diperoleh di lokasi kejadian.

Beliau berkata kedua-dua motosikal mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan telah ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Alor Gajah.

“Bedah siasat akan dijalankan pada kira-kira 8.30 pagi ini di Unit Forensik Hospital Jasin selepas proses pengecaman mayat selesai,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement