TASEK GELUGOR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjangkakan dua projek berjiwa rakyat di Seberang Jaya akan siap menjelang awal tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat bagi kawasan Seberang Jaya Lee Khai Loon berkata isu tertunggak berhubung menaik taraf Hospital Seberang Jaya dan pembinaan pasar dan pusat penjaja di kawasan itu akan selesai sebelum pilihan raya negeri diadakan.

"Projek pasar Seberang Jaya dijangka siap menjelang Jun tahun ini manakala Hospital Seberang Jaya akan siap awal tahun hadapan," katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Wanita peringkat negeri yang dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini pada Sabtu.

Lee yang juga ADUN Machang Bubok berkata projek Hospital Seberang Jaya yang bermula pada 2016 masih belum disiapkan sehingga menjejaskan aliran trafik.

Beliau berkata 315 katil akan ditambah serta menambah baik kemudahan katil dan unit rawatan rapi (ICU) selain meningkatkan bilangan ruang parkir di hospital berkenaan, manakala pembinaan pasar awam dan pusat penjaja Seberang Jaya akan dapat menampung kira-kira 200 peniaga.

Dilaporkan sebelum ini bahawa projek Hospital Seberang Jaya bernilai RM368 juta dan pusat penjaja dan pasar awam Seberang Jaya bernilai RM19.5 juta yang masing-masing bermula pada 2016 dan 2019, mengalami kelewatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan untuk mengekang COVID-19 pada dua tahun lepas.

Lee dilantik sebagai ADUN angkat untuk Seberang Jaya selepas ADUN kawasan itu Dr Afif Bahardin bersama tiga lagi ADUN diarahkan untuk mengosongkan kerusi mereka selepas sidang DUN Pulau Pinang meluluskan usul untuk pengisytiharaan kekosongan empat kerusi yang diwakili ADUN BERSATU, minggu lepas.

-- BERNAMA