KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan dua rakan daripada pertuduhan menipu dua lelaki berhubung pengedaran 180,000 kotak sarung tangan getah bernilai lebih RM1 juta, tiga tahun lepas.

Hakim Mohd Kafli Che Ali membebaskan Wan Ahmad Farhaan Wan Kia Salleh Nor, 32, dan Mohd Fami Sharin, 50, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Mohd Kafli berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua tertuduh melakukan penipuan yang menyebabkan mangsa telah diperdayakan. 

"Tiada unsur penipuan dapat dibuktikan oleh pendakwaan kerana saksi pendakwaan kedua (SP2) dan saksi pendakwaan ketiga (SP3) dalam keterangan mereka mengakui bahawa mereka secara suka rela menandatangani beberapa siri draf perjanjian bertulis antara syarikat Yummylooks dan Tuntas Abadi serta tiada keterangan menunjukkan kedua-dua tertuduh yang mendorong SP2 dan SP3 untuk menyerahkan wang (RM1,001,650) tersebut.

"Mahkamah mendapati kes ini lebih kepada kes kemungkiran kontrak, maka atas alasan tersebut kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan dihadapi mereka tanpa dipanggil membela diri serta wang jamin RM30,000 setiap seorang dikembalikan semula kepada penjamin," kata hakim itu.

 Wan Ahmad Farhaan dan Mohd Fami didakwa menipu Mohamad Faiz Yaacob dan Saleh Nabil Salah Mahmoud Abdalkader Alarabi, yang mewakili syarikat Yummylooks Sdn Bhd bahawa kedua-dua tertuduh akan mengedarkan 180,000 kotak produk itu sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM1,001,650 ke akaun bank atas nama Syarikat Tuntas Abadi Sdn Bhd milik tertuduh pertama (Wan Ahmad Farhaan).

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Damansara, Taman Tun Dr Ismail di sini pada 17 Mac 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub manakala peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris mewakili kedua-dua tertuduh.

Lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 2022.

-- BERNAMA