JOHOR BAHRU: Dua rakan termasuk seorang warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang pegawai polis berjumlah RM90,000, tahun lepas.

Mengikut kertas pertuduhan, Law Wen Xiang, 32, dan Donavan Sia Qi Xun, 27, didakwa mencapai niat bersama memberi suapan kepada pegawai risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di hadapan sebuah restoran di Taman Suria di sini, pada 5.45 petang, 17 Okt tahun lepas.

Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas Sia yang merupakan warga Singapura kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan itu, Law dan Sia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Law dan Sia turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan memberi suapan kepada individu sama dengan jumlah yang sama sebagai balasan untuk tidak menjalankan tindakan penguatkuasaan ke atas Sia kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi, waktu dan hari yang sama mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan mereka perlu melapor diri ke pejabat SPRM Johor di sini setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 19 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Chan Choon Yew, manakala peguam K. Veeranesh Babu mewakili Law sementara peguam Mohamad Isa Mohamad Basir mewakili Sia.

-- BERNAMA