KOTA BHARU: Dua remaja yang gambar mereka tular kerana menunggang motosikal dengan tidak memakai topi keledar selain baju seragam yang dipakai tertulis perkataaan mencarut guru didakwa hari ini.

Kedua-duanya yang baru tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas tuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Berusia 17 tahun, kedua-dua remaja itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan kedua-dua remaja berkenaan memakai baju tertulis perkataan yang menghina atau kelucahan yang mengganggu keamanan setempat.

Kesalahan berkenaan di dakwa dilakukan di Bulatan Chempaka, di sini pada pukul 4 petang, 3 Mac lalu.

Majistret menetapkan kedua duanya jaminan RM100 setiap seorang dengan seorang penjamin. 

Kes akan disebut semula pada 22 Jun depan bagi menunggu laporan akhlak tertuduh siap. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya S Gayathri manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nik Nazriani Nik Abdul Rahman.

Sebelum itu, remaja berkenaan turut dikenakan lima saman atas kesalahan trafik.