Dua remaja di Kampung Bandar Hilir, di sini terpaksa meninggalkan dunia persekolahan selepas mereka tidak lagi mampu berbuat demikian akibat kemiskinan yang dialami keluarga.

Mereka tercicir dari persekolahan selepas bapa mereka yang selama ini menjadi tempat bergantung disahkan lumpuh selamanya selepas insiden terjatuh dari pokok pada tahun 2014.

Norzulaika Amilia Zairulnizam, 17, berhenti bersekolah lebih setahun lalu kerana berasa malu sering diejek rakan-rakan sekolah yang mengetahui dia hanya mempunyai duit belanja RM2 setiap kali datang ke sekolah, selain keadaan bapanya.

Selain Norzulaika, turut tidak bersekolah, Zulkarnain, 16, yang berhenti bersekolah sejak lebih dua tahun lalu dan mengambil keputusan bekerja di sebuah kedai runcit dengan upah antara RM30 hingga RM50 sehari.

Ibu mereka, Norhasliza Mat Saad, 35, juga cuba menyokong keperluan keluarga dengan bekerja di sebuah kilang memproses tauhu dengan pendapatan bersih antara RM500 hingga RM700 sebulan.

Namun pendapatan tersebut tidak mencukupi kerana terpaksa menanggung dua lagi anaknya yang bersekolah masing-masing Mohd Haikal, 14, dan Mohd Aiman, 12, selain perbelanjaan keperluan dan perubatan suaminya.

Enam beranak itu kini berteduh di unit kediaman di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Ketika ditemui Astro AWANI, Norzulaika mengakui ingin bersekolah kembali.

“Keinginan nak kembali bersekolah tu memang ada, tapi keluarga saya tak mampu,” katanya.

Bapanya, Zairulnizam Abdullah, 38, lumpuh selepas patah tulang rusuk dan pinggul selepas terjatuh dari sebatang pokok ketika mengambil madu lebah pada 2014. Dia mengalami kelumpuhan kekal sejak peristiwa itu.

Hulur bantuan

Situasi yang dialami keluarga tersebut sudah Astro AWANI maklumkan kepada Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau yang meluangkan masa melawat keluarga itu memberi jaminan bahawa kedua-dua remaja itu akan kembali mengikuti sesi persekolahan minggu ini.

Selain itu, Zulkarnain akan menyertai pusat kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) memandangkan dia meminati bidang membaiki kereta.

Keperluan harian juga akan disalurkan kepada keluarga tersebut setiap bulan, selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sudahpun diperolehi mereka.

Perbelanjaan persekolahan anak dan perubatan untuk Zairulnizam juga akan diuruskan.