KOTA BHARU: Dua individu maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang.

Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 9 malam Khamis itu masing-masing berusia 10  dan 41 tahun.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal Yamaha LC135 keluar dari simpang Kedai Nasi Ulam Che Ku untuk menghala ke Kota Bharu.

"Bagaimanapun, dua buah motosikal iaitu jenis Yamaha Y-15 dan Honda EX-5 tiba-tiba datang dari arah Kota Bharu bertembung secara berdepan dengan motosikal Yamaha LC135.

"Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal Y-15 berumur 41 tahun dari Machang tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta Toyota Vios," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Adli berkata, pembonceng Yamaha LC135 berusia 10 tahun yang beralamat di Tanah Merah turut meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala bapanya mengalami cedera ringan.

Tambahnya, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Machang dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khairulanwar Adamb di talian 011-10085165 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di talian 09-9751222. - Sinar Harian