JOHOR BAHRU: Dua wanita dikejarkan ke hospital selepas mengalami gejala muntah, dipercayai terhidu tumpahan bahan kimia daripada sebuah tangki di stor penyimpanan yang mengalir ke sungai berdekatan rumah mereka di Jalan Besar Kampung Baru, Sengkang di Kulai malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai Pegawai Bomba Tinggi II Bahtiar Selamat berkata, kedua-dua wanita tempatan berusia dalam lingkungan 20 dan 60-an itu dibawa ke Hospital Kulai oleh keluarga mereka.

Katanya, panggilan kecemasan berhubung kejadian tumpahan bahan kimia itu diterima pihaknya pada 8.22 malam dan seramai 21 anggota termasuk daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) digegaskan ke lokasi.

"Pihak bomba telah membuat pemantauan di kawasan sekitar dan mendapati terdapat sebuah stor penyimpanan berdekatan.

"Terdapat 30 tangki 'intermediate bulk containers' (IBC) di stor berkenaan yang di dalamnya mengandungi bahan alkali, dan didapati satu daripada tangki tersebut telah pecah dan mengalir ke sungai yang berhampiran," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ujian yang dilakukan oleh HAZMAT mendapati tumpahan bahan kimia itu melibatkan methyltriocdylammonium chloride, hidrogen peroksida dan n-methyl cyclohexylamine.

Bahtiar berkata keadaan semasa kedua-dua mangsa yang diberikan rawatan sebagai pesakit luar adalah stabil dan tidak serius.

Beliau berkata kejadian itu telah dilaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak bomba telah membuat tiga lapisan benteng bagi menghalang bahan buangan tersebut daripada mengalir ke dalam sungai dan operasi ditamatkan pada 2.33 pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah JAS Negeri Johor Dr Mohd Famey Yusoff ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan tersebut dan pegawai JAS sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian.

-- BERNAMA