Dua wanita Indonesia mangsa eksploitasi buruh paksa diselamatkan - KP Imigresen

Zakaria berkata modus operandi sindiket dikesan menawarkan perkhidmatan pembantu rumah melalui aplikasi WhatsApp dengan mengenakan bayaran RM8,000 kepada majikan dan menjanjikan gaji bulanan sebanyak RM1,500 kepada pekerja. - Gambar JIM
PUTRAJAYA: Dua wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa serta pemerdagangan orang berjaya diselamatkan dalam operasi berasingan di Kapar dan Bukit Jelutong, Selangor.
Ringkasan AI
- Dua wanita warga Indonesia didapati menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dan pemerdagangan orang di Kapar dan Bukit Jelutong, Selangor.
- Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, mengesahkan penahanan seorang wanita warga tempatan dan penyelamatan seorang wanita Indonesia dalam operasi berasingan.
- Modus operandi sindiket termasuk menawarkan perkhidmatan pembantu rumah dengan bayaran tinggi kepada majikan dan mengeksploitasi pekerja, menyebabkan mangsa berhutang kos perjalanan dan terputus hubungan dengan keluarga.
"Siasatan awal mendapati mangsa memiliki pas lawatan sosial yang masih sah namun telah dieksploitasi untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
"Mangsa turut dibebani hutang kos perjalanan sebanyak RM3,000 yang perlu dilunaskan melalui pemotongan gaji bulanan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata modus operandi sindiket dikesan menawarkan perkhidmatan pembantu rumah melalui aplikasi WhatsApp dengan mengenakan bayaran RM8,000 kepada majikan dan menjanjikan gaji bulanan sebanyak RM1,500 kepada pekerja.
Beliau berkata dalam operasi kedua pada 12 Jan lepas, seorang lagi wanita Indonesia berumur 54 tahun berjaya diselamatkan di sebuah kediaman yang diubah suai menjadi premis makanan di Bukit Jelutong, dan mangsa dipercayai telah bekerja hampir sebulan selepas diserahkan oleh ejen kepada majikan dengan bayaran mencecah RM14,000.
"Mangsa dipaksa bekerja melebihi tempoh masa yang ditetapkan manakala pasport dan telefon bimbit mangsa dipegang oleh pihak sindiket, menyebabkan mangsa terputus hubungan dengan ahli keluarga," katanya.
Zakaria berkata mangsa turut berada dalam keadaan trauma akibat penderaan fizikal dan mental serta pergerakan yang dikawal ketat, dan susulan itu, seorang wanita warga tempatan yang juga pemilik premis berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata kedua-dua mangsa dikenal pasti berdasarkan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang 2.0 manakala kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


