Skip to main content

Dunia

Duta Iran gesa negara Islam bersatu hadapi ancaman Israel

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi_AWANI
Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi ketika temu bual ekslusif bersama Astro AWANI hari ini. - Gambar/ Astro AWANI.

KUALA LUMPUR: Iran menegaskan bahawa negara‑negara Islam, termasuk Malaysia, perlu memperkukuh kesatuan umat sebagai langkah menghadapi sebarang ancaman atau tindakan ketenteraan Israel di masa hadapan.

Dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI, Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, berkata perpaduan dunia Islam adalah kunci utama bagi mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara‑negara Muslim.

Ketika ditanya sama ada rakyat Malaysia perlu bersiap sedia sekiranya konflik Israel–Iran merebak, Mohammadi menegaskan perkara paling penting ketika ini ialah mengembalikan penyatuan negara‑negara Islam yang menurutnya semakin longgar sejak beberapa tahun lalu.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan kerajaan Malaysia. Kita ini negara Muslim. Dan Israel, sejak dahulu, sering menyerang negara‑negara Islam,” katanya.

Menurut Mohammadi, penubuhan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dahulu bertujuan menyatukan negara‑negara Islam dalam menghadapi ancaman Israel. Namun, beliau mengakui dunia Islam kini berdepan masalah besar iaitu perpecahan.

“Beberapa tahun lalu, pemimpin kita menubuhkan OIC untuk menentang Israel dan menyatukan negara‑negara Islam. Hari ini, kita perlukan semula kesatuan itu. Negara‑negara Muslim mesti bersatu menghadapi musuh yang sama.

“Semua negara Islam ada satu musuh iaitu Israel," jelasnya.

Mohammadi menegaskan bahawa semua negara Islam perlu melihat Israel sebagai ancaman bersama kerana tindakan ketenteraan Israel sering menjadikan negara‑negara Muslim sebagai sasaran.

“Jika Israel tahu bahawa semua negara Muslim bersatu, mereka tidak akan berani menyerang mana‑mana negara sama ada Iraq, Lubnan, Arab Saudi atau Iran.

"Kita boleh lakukan apa sahaja. Kita ada sumber, kita ada ilmu, kita ada generasi yang baik.
Jika bersatu, dunia Islam boleh menjadi kuasa besar dunia,” katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found